Aku mahu mereka punya sekolah sendiri yang mampu mendidik anak2 Bajau Laut di sini
kertas dan pensel yang ditakuti Bajau Laut.
Encik Khairul Jamain bersama komuniti Bajau laut, beliau telah banyak mendedahkan cara hidup mereka malah beliau juga banyak bertanya beberapa perkara dan ternyata ia sangat menarik untuk di kongsikan untuk mengetahui lebih dekat komuniti bajau laut di Malaysia.
Kertas dan pensel adalah alat untuk mengubah masa depan,kerana tiada satu negara yang maju tanpa pendidikan. Sudah 4 bulan aku di Lautan Celebes, Semporna dan kerana terlalu sibuk, hampir sebulan aku tidak bertemu dengan Anita, seorang gadis Bajau Laut sekitar 14-17 tahun. Rindu juga dengan kerenahnya yang selalu banyak bercerita tentang rakan-rakannya serta ikan yang ditangkapnya.
Selama sebulan dua juga aku berusaha mendekati komuniti Bajau Laut ini kerana tidak mudah orang luar seperti aku untuk diterima oleh mereka. Aku mengkaji dan melihat bagaimana cara hidup dan budaya komuniti ini dan aku mula sedar bahawa mereka kehilangan sesuatu yang besar iaitu “Pendidikan”.
“Haaaaaaaaa” aku mengeluh sambil memandang lautan Celebeas yang tenang. Wajah anak-anak itu jelas keriangan seperti menandakan tiada apa duka yang mencarik hidupnya. Ombak yang terhempas di hadapan rumah ini tak pernah mempunyai destinasi tetap dalam hidupnya, mungkin juga tak pernah terdetik dalam dirinya untuk bertanya dari mana asalnya dan ke mana arahnya.
Aku bertekad menjadi cikgu disini, aku tidak mengajar mereka “A,B,C atau 1,2,3” dahulu tetapi mereka harus diajar mengenal kehidupan, sebab itu aku tidak terus mengajar mereka seperti sekolah formal. Apa yang aku ajar adalah melukis, menyanyi, bercerita dan menunjukkan contoh yang baik. Masih ingat ketika mula-mula aku memberi mereka kertas dan pensel, mereka tidak mahu menyentuhnya kerana berasa takut dan tidak tahu bagaimana menggunakannya.
“Sebelum aku belajar menghargai sesuatu, aku belajar kehilangan sesuatu”.
Impian itu mestilah setinggi langit, bahkan untuk mencapai bulan pun manusia memerlukan waktu berpuluh tahun menyiapkan segala persiapan teknologi. Lihat bagaimana kesungguhannya tapi
Impian aku cuma kecil, aku mahu mereka punya sekolah sendiri yang mampu mendidik anak-anak Bajau Laut di sini. Impian itu harus ditanam dari sekarang supaya ia bisa dibaja dan tumbuh mekar suatu hari nanti.
Impian aku cuma kecil, aku mahu mereka punya sekolah sendiri yang mampu mendidik anak-anak Bajau Laut di sini
Sebab itu aku sanggup mengeluarkan kos sendiri seminggu 2-3 kali datang ke komuniti Bajau Laut semata-mata untuk mengajar mereka kerana aku percaya mereka punya harapan. Selama aku ke pulau untuk mengajar, aku harus mengeluarkan kos RM400 setiap bulan untuk bot kecil sebagai pengangkutan utama pergi dan pulang. Perjalanan mengambil masa antara 30-50 minit bergantung pada keadaan laut dan ombak.
Yang paling menyentuh hati aku apabila Kamalita memberikan nama anaknya yang berusia 7 bulan bernama “KHAIRUL” sebagai tanda dia dan keluarganya mengingati nama aku. ?
Apa yang aku buat ini adalah inisiatif sendiri menyumbangkan semula apa yang aku ada kepada masyarakat. Kerajaan sepatutnya merasa malu kerana terus menerus membiarkan komuniti Bajau Laut tapi dalam masa yang sama mengambil kesempatan menggunakan mereka untuk publisiti. Jika Bajau Laut di Indonesia dibela, diberi pendidikan dan hak sama rata tapi kenapa tidak di Malaysia?
Aku adalah laki-laki yang menggantung penulisanku ini di atas angin lalu berharap ia akan tersebar ke jantung rakyat, aku juga laki-laki yang menulis penulisanku pada pasir pantai lalu berharap kata-kata ini terdampar di seberang pantai Laut Cina Selatan.
Usaha dan harapan telahku benih, sekarang aku cuma mampu berdoa pada tuhan agar usaha dan pengharapan menjadi sebatang pokok yang akan memberi manfaat kepada masyarakat.
Kredit/Sumber: Khairul Jamain
Youtube: https://www.youtube.com/channel/UCJ2LqXM0KEhzE1-TFWQ0xFA