Harga Minyak Naik 1 Sen Setiap Minggu Bermula Tahun 2020

Sharing is caring!

HARGA petrol RON95 akan diapungkan secara berperingkat sebaik sahaja Program Subsidi Petrol (PSP) dilaksanakan Januari depan bertujuan tidak membebankan pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, kementerian memutuskan menaikkan harga bahan api sebanyak satu sen setiap minggu sehingga harga petrol RON95 mencapai harga pasaran.

“Keputusan mengapungkan harga minyak bagi meringankan kos hidup rakyat selain mengelak harga barangan tidak naik secara mendadak.

“Kita akan apungkan harga petrol berperingkat sebanyak sen satu seminggu sehingga harga RON95 sampai harga pasaran,” katanya pada sesi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang mahu tahu mekanisme kementerian mengelak harga barang meningkat selepas pelaksanaan PSP.

Katanya, PSP tidak akan dilaksanakan di Sarawak, Sabah dan Labuan, sebaliknya terus menikmati harga subsidi RON95 pada harga RM2.08 seliter.

Chieng Jen berkata, kementerian juga ada Akta Kawalan Harga supaya peniaga tidak mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan berlebihan selepas pelaksanaan PSP.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan PSP hanya berkuat kuasa di Semenanjung sahaja yang bakal meringankan beban kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memiliki berkenderaan.

“Bagaimanapun, rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan akan menikmati subsidi petrol secara pukal iaitu pada harga runcit semasa RM2.08 seliter selepas kerajaan mengambil kira keperluan kebanyakannya menggunakan kenderaan berkapasiti enjin besar dan diesel.

“Oleh itu, rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan dikecualikan daripada pelaksanaan PSP dan pengapungan harga jualan runcit petrol RON95,” katanya. -hmetro.com.my

You may also like...

Leave a Reply