Jabatan Air Sabah Terima Ancaman Siber, Ugut Hancur dan Padam Data Sistem

Sharing is caring!

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menerima ancaman siber daripada pihak tidak dikenali yang mengugut untuk menghancurkan serta memadamkan data jabatan berkenaan.

Pengarahnya Ir Amarjit Singh berkata, ancaman itu diterima pada 21 September di peti email Bahagian Hal Ehwal Korporat daripada pengguna yang menggunakan nama ‘Jabatan Air Mani’.

“Pihak terbabit yang menggelarkan mereka sebagai ‘Silence Hack Group’ dalam email terbabit menyatakan bahawa ini adalah amaran terakhir kepada pentadbiran JANS.

“Email terbabit turut menyatakan jika gangguan bekalan air masih berterusan, laman sesawang JANS akan dihancurkan selain data cawangan di bahagian Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau akan dipadam,” katanya.

Tambahnya, pada hari sama semua cawangan utama JANS termasuk Tawau dan Sandakan turut menerima ancaman yang sama pada saluran email masing-masing.

Amarjit berkata, pihaknya juga mengesan sebuah akaun media sosial Facebook yang dipercayai palsu dengan menggunakan nama ‘Ahmad Tar’.

Katanya, pengguna akaun terbabit kerap menghantar komen berbaur kesat di setiap notis gangguan bekalan air di laman Facebook rasmi JANS.

“Susulan ugutan itu, kita membuat aduan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Karamunsing bagi mengenal pasti suspek selain tindakan lanjut dapat dilaksanakan,” katanya. – utusanborneo

You may also like...

Leave a Reply