600 Ribu Pas Khas Pendatang Asing, Bimbangkan Rakyat Sabah

Sharing is caring!

gambar hiasan

KOTA KINABALU: Seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang membidas keputusan kerajaan persekutuan untuk mengeluarkan pas khas kepada pendatang asing di Sabah dengan berkata, lambat-laun jumlah mereka akan mengatasi penduduk “jati” negeri itu.

Wakil PBS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Joniston Bangkuai berkata, pemberian pas khas kepada orang asing untuk tinggal di Sabah bermakna membenarkan mereka beranak-pinak.

“Ini akan mengubah demografi penduduk Sabah. Terdapat kemungkinan jumlah orang asing akan mengatasi penduduk tempatan, justeru mengancam kedudukan mereka,” katanya hari ini ketika memberi komen terhadap pengumuman kerajaan bahawa ia akan mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada lebih 600,000 warga asing bermula Jun tahun depan.

gambar hiasan

Bangkuai yang juga merupakan ketua penerangan PBS berkata, rakyat Sabah “berhak untuk berasa cemas dan bimbang” terhadap keputusan itu.

Minggu lepas, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mengeluarkan pas khas itu kepada warga asing yang mempunyai dokumen di Sabah bagi menyelaraskan proses pemantauan dan penguatkuasaan.

Beliau berkata, pada masa ini agensi seperi Jabatan Imigresen berdepan kesukaran untuk menguatkuasakan undang-undang kerana terdapat beberapa jenis dokumen yang dimiliki oleh warga asing terbabit.

Dokumen pengenalan diri itu termasuk IMM13 yang dikeluarkan kepada pelarian, “kad burung-burung” dan sijil banci.

“Kadang-kadang sukar untuk menentukan sama ada dokumen ini dikeluarkan secara sah,” katanya.

Dianggarkan kira-kira 600,000 pendatang asing memiliki 3 jenis dokumen ini daripada kira-kira 1.1 juta yang tinggal di Sabah.

Bangkuai berkata, pas khas tersebut antara lain akan diberikan kepada pemegang kad IMM13, yang merupakan pelarian perang dari selatan Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada dekad 1970-an.

Katanya, angka 600,000 itu menunjukkan jumlah mereka bertambah berlipat kali ganda sepanjang masa ini.

“Bayangkan angkanya 3 tahun dari sekarang,” katanya.

Bangkuai berkata, kebimbangan lain ialah kenyataan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Teodoro Locsin Jr baru-bari ini bahawa Sabah merupakan milik negara itu.

“Duta Filipina ke Malaysia, selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas ketua menteri beberapa bulan lepas, juga secara terbuka membuat kenyataan bahawa negara itu belum menggugurkan tuntutannya ke atas Sabah.

“Dengan kebimbangan ini bermain di fikiran, kita tidak boleh menolak kemungkinan kehadiran pendatang asing dari Filipina yang ramai dan pelarian perang selatan negara itu yang terus berada di Sabah boleh mencetuskan satu “pengambilalihan songsang” ke atas negeri ini,” katanya.

Bangkuai berkata, pendatang asing tanpa izin “berpatah arang” mahu terus tinggal di Sabah seperti terbukti atas kesanggupan mereka membayar beberapa ribu ringgit bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri secara tidak sah.

“Beberapa minggu lepas dilaporkan beberapa individu, termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditahan di Semporna, tempat asal ketua menteri Shafie Apdal, kerana didakwa membantu pendatang asing mendapatkan dokumen pengenalan Malaysia,” katanya.

Justeru kata beliau, pendatang asing tanpa dokumen harus dihantar pulang ke negara asal mereka kerana pemberian pas khas bukan sahaja akan meningkatkan jumlah mereka, tetapi juga menggalakkan lebih ramai orang asing memasuki Sabah melalui jalan belakang.

Bangkuai juga berkata, isu pendatang asing tanpa izin berpotensi menjadi masalah negara berikutan laporan bahawa pendatang asing dari Filipina kini memasuki Semenanjung Malaysia dengan menggunakan dokumen palsu.

Beliau menggesa kerajaan supaya mengambil langkah segera menghantar pulang pendatang tanpa izin dengan kerjasama kerajaan negeri. –https://www.freemalaysiatoday.com

You may also like...

Leave a Reply