Dilema identiti masyarakat Dusunik, Murutik dan Paitanik di Sabah

Sharing is caring!

kredit pic maruwiah.com

Penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai etnik yang sebahagiannya besarnya mempunyai persamaan dari segi bahasa pertuturan dan budaya. Kelompok masyarakat yang mentuturkan bahasa Murutik dan Dusunik dikatakan kelompok masyarakat yang terawal di Sabah.

Kelompok ini mempunyai persamaan daripada bahasa yang digunakan justeru dirujuk sebagai Borneon stock (Ranjit Singh, D.S.,2011). Meskipun demikian, masyarakat Murut Sabah adalah berbeza dengan masyarakat Murut di Sarawak khususnya sub-kumpulan Tagal yang kebanyakkannya tinggal di Kalimantan, Indonesia dan sebahagian kecilnya di Sarawak (ibid).

kredit pic maruwiah.com

Bagi masyarakat Kadazandusun, ia dikatakan mempunyai kaitan dengan sejarah dengan masyarakat Visaya dan Tagalog di Filipina. Berdasarkan pada rekod pada tahun 1911, masyarakat Kadazandusun merangkumi 41 peratus (78,951 orang) daripada saiz populasi sejumlah 208,951 pada ketika itu (Ranjit, 2011).

Menurut Rutter, Owen. dan T.R William (dipetik dalam Ranjit Singh., D.S. (2011)) masyarakat Kadazandusun dikatakan berasal dari tanah besar Asia yang telah berhijrah ke Sabah. Kebanyakkannya Kadazandusun tinggal di kawasan Barat Sabah.

kredit pic maruwiah.com

Kumpulan utama ialah Kadazan Penampang dan Papar, Rungus di Kudat, Lotud di Tuaran, suku Bundu di Tambunan dan Ranau manakala Liwan di Banjaran Crocker (ibid). Terdapat juga kumpulan suku etnik yang mixed origin terutamanya Kwijau dan Tatana (Fr. A.G. Lampe, (1962) dipetik dalam Ranjit Singh., D.S. 2011).

Persoalan berkaitan label etnik dalam kalangan masyarakat yang tergolong dalam kumpulan Dusunik, Murutik dan Paitanik masih lagi menjadi salah satu isu yang masih dipolemikan oleh etnik-etnik yang berada dalam kumpulan ini.

kredit pic maruwiah.com

Perdebatan isu identiti

Isu identiti dalam kalangan masyarakat Kadazandusun telah berlaku sebelum penubuhan Malaysia lagi. Istilah ‘Kadazan’ diketengahkan oleh Donald Stephens (Tun Fuad Stephens) sewaktu proses pembentukan Malaysia kerana beliau yakin ia dapat menyatukan pribumi bukan Islam dan lebih bersifat positif dari segi istilahnya berbanding perkataan ‘Dusun’ yang dianggap mempunyai konotasi yang negatif.

Secara literalnya, Dusun merujuk kepada kebun dan oleh itu ianya dikaitkan dengan kemunduran, primitif, jauh ketinggalan malah pemikiran yang sempit dan tidak dinamik (Sabihah Osman, 1986).

Berbeza pula dengan perkataan ‘Kadazan’ yang menggambarkan kemajuan dan moden disamping mengketengahkan darjat sosio-ekonomi yang progresif (Sabihah Osman, 2008).

Istilah ‘Kadazan’ telah mendapat tentangan daripada etnik Dusun dan etnik lain seperti Murut dan seterusnya membawa kepada penubuhan parti politik United Nasional Pasok Momogun (Pasok Momogun) yang dipimpin oleh G.S Sundang dan Datu Idan Kari (ibid).

Menurut Mohamad Yaakub (1989) keengganan etnik Dusun menerima istilah ‘Kadazan’ telah menyebabkan kontroversi dalam kalangan pribumi Kadazan dan Dusun yang berlarutan lebih kurang 30 tahun (dipetik dalam Suraya Sintang, 2003).

Namun, dalam kesibukan ke arah pembentukan Malaysia pada tahun 1963, isu identiti senyap seketika sehinggalah gugusan Malaysia menjadi realiti.

Bagaimanapun, isu identiti kembali diperdebatkan pada tahun 1980an apabila berlakunya konflik bersifat peribadi di antara Joseph Pairin dan Mark Koding. Kedua-dua pemimpin politik ini merupakan presiden persatuan kebudayaan iaitu Pairin mengetuai persatuan kebudayaan Kadazan atau dikenali sebagai Kadazan Cultural Association (KCA) manakala Mark Koding merupakan presiden United Sabah Dusun Association (USDA).

KCA bertekad untuk menggunakan istilah Kadazan kerana ianya dikatakan betul secara sejarahnya tetapi USDA pula tetap dengan pendiriannya bahawa istilah yang tepat adalah Dusun (Arnold & Tony, 2011).  

Pairin menyedari bahawa isu identiti ini boleh menjejaskan sokongan terhadap beliau khususnya dari kalangan etnik Dusun maka pada 5 November 1989, delegasi KCA sebulat suara bersetuju meminda nama KCA kepada Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) sempena konferensi Kadazan Cultural Association Fifth Biennial.

Dengan adaptasi perkataan ‘Dusun’ di dalam KDCA, ianya merupakan permulaan baru bagi identiti etnik negeri ini dan menyahkan tanggapan bahawa KCA hanyalah khusus untuk Kadazan (Reid, A., 1997). Istilah Kadazandusun turut dipersetujui untuk merujuk masyarakat Kadazan, Dusun serta etnik-etnik lain seperti yang tersenarai di dalam Perlembagaan KDCA.

Usaha KDCA dalam menyelesaikan isu identiti tetap tidak mendapat menamatkan isu ini dipolemikan. The Kadazan Sabah Society (KSS) membantah istilah Kadazandusun dan hanya Kadazan atau Dusun yang harus digunapakai.

Presiden KSS, Marcel Leiking menyatakan there is no such thing as a Kadazandusun race, but there are Kadazans and there are Dusuns and each deserve equal respects (Daily Express, 23 Ogos 2018). Turut tidak berpuashati dengan penggunaan istilah Kadazandusun ialah masyarakat Murut, Rungus dan etnik-etnik lain.

Susulan dengan perkembangan isu label Kadazandusun, maka istilah ini diubah lagi kepada Kadazandusu Murut (KDM) dan seterusnyanya Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR).

Versi istilah KD, KDM dan KDMR ini tidak menyelesaikan polemik identiti dalam kalangan masyarakat Dusunik, Murutik dan Paitanik malah membawa kepada kekeliruan identiti serta menimbulkan ketidakpuasan hati kepada etnik-etnik lain terdiri daripada kumpulan yang sama.

Polemik mahu pun politik identiti dalam kalangan masyarakat Dusunik, Murutik dan Paitanik tidak akan memberi kebaikan kepada masyarakat ini malah akan menyebabkan perbalahan dalam kalangan mereka.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Momogun National Congress (MNC) telah tampil untuk mencadangkan pengenalan nama “Momogun” sebagai label generic (umum) merujuk kepada masyarakat Dusunik, Paitanik dan Murutik di Sabah.

Ia diketengahkan untuk merangkumi semua etnik tanpa menukar atau mengubah identiti etnik mereka umpamanya Momogun (Kadazan), Momogun (Tatana) dan seterusnya. Konsepnya sama seperti Dayak di Sarawak di mana Iban, Bidayuh, Kayan dan sebagainya termasuk dalam kaum Dayak.

Namun cadangan nama ‘Momogun’ telah mendapat pelbagai reaksi. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang menentang.  Contohnya, Presiden Sabah Momogun Rungus Association (SAMORA) Datuk Jelani Hamdan menyokong istilah Momogun menggantikan KadazanDusun Murut (KDM) atau pun Kadazandusun Murut Rungus (KDMR) dengan alasan ia lebih bersifat universal dan tidak mengelirukan (therakyatpost, 2016).

Manakala Setiausaha Agung KDCA, Datuk John Anthony menegaskan pendirian KDCA dengan jelas menolak istilah ‘Momogun’ untuk kegunaan rasmi dan hanya nama Kadazandusun sahaja digunakan seperti yang telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu semenjak tahun 1961 (Daily Express, 24 April 2016).

Dilemma Identiti

Meskipun istilah Kadazandusun sudah meluas penggunaannya untuk merujuk kepada  masyarakat Dusunik, Murutik dan Paitanik namun ianya masih mendapat tentangan daripada etnik-etnik yang merasakan ianya tidak mengambarkan identiti asal mereka.

Cadangan untuk memperkenalkan istilah ‘Momogun’ pula masih belum dapat dipersetujui disebabkan oleh bantahan daripada pelbagai pihak khususnya dalam kalangan pemimpin persatuan kebudayaan etnik dan juga ahli-ahli politik yang mengambil kesempatan untuk menjadikan isu identiti sebagai modal politik mereka.

Persatuan MNC telah mengambil langkah kehadapan dengan mengadakan Konvensyen Nasional Momogun 2016 untuk mendapatkan input dan seterusnya persetujuan daripada perwakilan yang mewakili persatuan dan kebudayaan etnik masing-masing.

Ini turut dilihat sebagai endorsement terhadap resolusi-resolusi yang dicapai dalam konvensyen tersebut.

Namun begitu, sehingga hari ini belum ada suatu keputusan pun yang dicapai mahupun dipersetujui untuk menamatkan polemik identiti antara Kadazandusun atau ‘Momogun’.

Malah kebangkitan persatuan-persatuan yang mewakili etnik masing-masing seperti Persatuan Kimaragang Sabah Bersatu, Persatuan Tobilung Bersatu Sabah, Persatuan Sino Kadazan Dusun Murut Sabah, Pertubuhan Tindal Bersatu Sabah dan Persatuan Bangsa Tombinuo Sabah mulai mengetengahkan penggunaan identiti etnik asal mereka.

Perkembangan ini sudah pasti mempunyai implikasi pelbagai sama ada baik ataupun negatif khususnya dalam konteks penyatuan etnik dan pembinaan negara bangsa.  

Kesimpulan

Isu identiti masyarakat Dusunik, Murutik dan Paitanik ini harus dilihat dalam konteks penyatuan etnik melalui satu identiti yang diterima oleh kumpulan etnik dan sub-etnik yang berada dalam masyarakat ini.

Untuk mengubah sesuatu istilah atau label etnik bukanlah suatu perkara yang mudah kerana etnik-etnik yang ada mempunyai kefahaman dan kepentingan yang berbeza khususnya dalam menjaga dan menketengahkan aspek budaya dan tradisi masing-masing.

Tambahan pula dengan isu yang mula dipolitikan oleh pihak-pihak tertentu menjadikan isu identiti semakin rumit. Sama ada Kadazan atau Dusun atau Kadazandusun ataupun ‘Momogun’, isu ini haruslah dilihat menjangkaui etnisiti dan politik identiti kerana ia hanya akan menjadi penghadang kepada pembangunan dan kemajuan masyarakat ini.

Peranan kerajaan dalam konteks ini sangat penting untuk mencari pemyelesaian yang terbaik kerana isu identiti merupakan sentimen yang sangat sensitif dalam kalangan masyarakat Dusunik, Murutik dan Paitanik.

***Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.

Sumber Utusan

You may also like...

Leave a Reply