Bina Surau Dengan Menggunakan Batu Sungai

Sharing is caring!

SEORANG pesara pegawai tentera sanggup memerah keringat membina sebuah surau dengan menggunakan batu sungai demi menyediakan kemudahan ruang solat untuk pekebun dan penoreh getah di Bukit Kachi, Sintok, Kedah.

Mejar (B) Mustapa Musa, 58, memulakan pembinaan surau itu sejak April tahun lalu, dibantu oleh seorang kenalannya yang membantunya mengutip batu-batu dari sebatang sungai terletak kira-kira 50 meter dari tapak surau dan menyusunnya menjadi dinding.

Katanya, surau itu yang diberi nama Surau Batu Sungai Bukit Kachi, dibina dengan keluasan 7.6 meter lebar dan 10.6 meter panjang atas tanahnya sendiri dalam kawasan kebun getah, di sini.

“Bukan sebarang orang boleh buat surau ini kerana perlu mengutip jumlah batu yang banyak, namun semua perasaan itu hilang apabila ada yang datang bersolat di sini dan rasa sangat bersyukur kerana proses pembinaannya berjalan lancar,” katanya.
Mustapa berkata, kira-kira 13,000 bongkah batu digunakan untuk membina surau itu yang turut dilengkapi dengan sebuah bilik air dan dewan terbuka untuk kegunaan orang ramai yang datang berkunjung ke kawasan itu.

Selain itu, beliau turut membelanjakan kira-kira RM30,000 untuk peralatan dan bahan binaan lain untuk surau itu yang kini hampir siap sepenuhnya serta sudah boleh digunakan.

Mustapa mengakui pembinaannya sedikit rumit, namun beliau bertekad menyiapkan demi memenuhi impian memiliki surau sendiri selain bercadang menginfakkannya untuk kedua orang tuanya.

“Surau ini adalah sebagai satu cara berdakwah walaupun ia terletak di dalam kawasan kebun getah, saya mahu kelainan supaya orang tertarik untuk singgah menunaikan solat, kerana mereka yang pernah datang bersolat di sini mengatakan suasana di dalamnya sejuk dan menenangkan,” katanya.

Beliau turut bersyukur apabila kemudahan elektrik dan air akan dibekalkan oleh pihak berkaitan sekali gus memastikan surau itu dapat digunakan dengan selesa terutama pada waktu malam.

Surau yang dibina di atas tanah hampir satu hektar itu mampu memuatkan hampir 85 orang jemaah pada satu-satu masa.

Kredit:Harian Metro

You may also like...

Leave a Reply