22 etnik di Sabah meriahkan sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2019
Kredit Picture GingKaras
KOTA KINABALU: Sebanyak 22 etnik terlibat dalam sambutan Hari Orang Asal Sedunia yang bakal berlangsung selama dua hari di Dewan Terbuka Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Penampang bermula 9 Ogos ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, sambutan itu dianjur bagi meningkat kesedaran masyarakat mengenai kewujudan Deklarasi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu ‘United Nations Declaration of the Rights of Indigenous Peoples’.
“Deklarasi ini mempunyai 46 artikel dan kita mahu supaya rakyat sedar kewujudan artikel-artikel ini dengan harapan perakuan deklarasi akan diserapkan ke dalam sistem undang-undang kerajaan dan dasar kerajaan.
“Bukan saja memastikan supaya semua deklarasi dilaksanakan di peringkat kerajaan tetapi sambutan ini juga untuk menghormati hak-hak Orang Asal di negara ini terutamanya di Sabah,” ujarnya.
Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata demikian pada sidang media sambutan Hari Orang Asal Sedunia di DUN Sabah pada Isnin.
Seramai tiga ribu pengunjung dijangka memeriahkan sambutan berkenaan dan akan turut disertai oleh ahli persatuan etnik antaranya Iranun, Kedayan, Dusun, Bajau, Suluk dan Brunei.
Bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2019, pelbagai program telah dirancang antaranya forum Isu-Isu dan Cabaran Orang Asal, persembahan kesenian dan kebudayaan, pameran busana, serta pelbagai makanan tradisi etnik Orang Asal.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie dijangka akan merasmikan sambutan berkenaan pada 10 Ogos ini.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Jannie Lasimbang.
Sumber: utusanborneo